Dimulakan dengan Bismillah

Dimulakan dengan Bismillah

Thursday, March 31, 2011

Teladan Cinta Kita


Dia pahlawan yang dimuliakan wajahnya
Dia puteri dari zuriat yang mulia
Ali pewaris keberanian dan kebenaran
Fatimah titipan kesabaran dan kesucian
Persandingan itu...
di pelamin kemiskinan
Fatimah...
Puteri terpuji, isteri teruji,
Suami di medan jihad,
Kau bermandi keringat,
Jauh-jauh mencari air...di padang pasir
Disengat sinar mentari,
Sedikit pun tidak kau kesali,
Untuk suami, kerana Ilahi.
Ali...
Pahlawan unggul, ilmuan tersohor,
Syair setajam senjata,
Gagah sekukuh kota,
Kau kunci gedung nubuwwah,
Kau fakir yang pemurah,
Kau wira di sebalik selimut hijrah,
Berkorban nyawa untuk Rasulullah.
Ali dan Fatimah...
Subuh itu mereka berdua bertemu Nabi,
Lalu diluahkan ketandusan upaya,
Betapa tenaga seakan tak mampu lagi,
Untuk menanggung beban keluarga,
Sudilah kiranya dihadiahkan seorang sahaya.
Tersenyum Rasulullah mendengar rintihan,
Lalu diberikan zikir sebagai gantian,
Tiga kalimat sarat keberkatan,
Subhannallah, Alhamdulillah, Alllah hu Akbar,
Lalu esoknya mereka datang lagi...
Bersama satu kelapangan dan kekayaan hati,
Cukuplah kami tak perlu apa-apa lagi!
Mereka miskin harta tapi kaya jiwa,
Sering berpisah tapi tak gundah,
Mereka bercinta kerana Allah.
Indahnya mempelai di pelamin kemiskinan,
Bila bersanding dua kemuliaan..
Seorang lelaki bergelar karamallahuwajhah,
seorang wanita yang az zahrah!

Sukarnye memaafkan


Aku benci rasa ini
Walaupun ia bertandang di laman hati
Kenapa kau menjelma semula
Setelah menghilang sekian lama
Kau kah itu yang pernah menghadiahkan
Satu luka berdarah yang menyakitkan
Kenapa perlu ku temui lagi warna pilu
Ketika kau lalu di tepian kalbu
Ah, terasa segalanya terlalu laju
Bila batas-batas masa dikira
Puluhan tahun tidak lama
termanggu aku seketika...
di pinggiran nostalgia
... sukarnya memaafkan
....sukarnya melupakan
Segalanya kini sudah berubah
Sejak ikatan hati itu terungkai
Episod demi episod telah mendewasakan...
Kita semakin matang mentafsirkan!
Kalau benar cintakan Allah...
Hati kita tak kan terpisah
Dan entah kenapa tiba-tiba kini...
Kita dipertemukan  semula
...di persada kemaafan
bila butiran wahyu menyapa
Tuhan semulia itu pun bisa memaafkan
Lalu dendam luruh seluruh...
Walau di awalnya terasa susah sungguh!

Saat Berpisah



Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.
Semuanya masih misteri. Hanya tinggal al-Quran dan al-Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian. Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!
Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita, kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.
Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan, kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH.
Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji, tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
"Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan."
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.
Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
"Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya."
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.
Justeru, carilah apakah "kebijaksanaan" itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut, katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.
Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya... syurga!

Kejahatan itu Bukan Suatu Kebetulan


Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah.
Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.
Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan... tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.
Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.
Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk 'maju' setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi si berdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat... pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.
Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.
Wahai diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah 'peringatan' yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.
Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh 'nikmatnya' yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.
Wahai diri, ingatlah... sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa... tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!
sumber:iluvislam.com

~Mudahnya kita jatuh cinta~



Dan terkadang kecintaan memelikkan kita.
Mengapa mudah kita tertaut hati pada seseorang itu?
Hanya pada pandangan pertama.
Dan dulu seorang adikku
selalu mengatakan itu padaku,
Begitu mudahnya aku menyintai seseorang.
Begitu juga dalam jalan dakwah ini.
Kita akan mudah terjatuh cinta.
Banyak kali
Cinta pada mereka yang memberikan kita rasa faham ini.
Dan cinta kepada mereka yang kita berikan rasa faham ini.
Ia adalah tautan hati
Yang sukar dimengertikan.
Perasaan yang sukar
Dinukilkan dengan lukisan kita
Begitulah besarnya erti cinta pada dakwah ini.
Ia menolak kehendak diri untuk memberi sebuah erti
Jauh dirasakan dekat
Sering bersama tidak mendatangkan kebosanan
Ianya bahagia tiada tara!
Ia mengajar erti untuk tidak berhenti dalam memberi
Ia menolak diri untuk sentiasa mengorbankan diri
demi insan yang baru sahaja dikenali
kerana ikatan hati itu
bertahkik pada cinta Ilahi
( aku dan dia, mengalami rasa yang sama; mudahnya hati ini tertaut dan menyukai manusia. Kerana itu, takutnya apabila dialirkan cinta itu pada yang bukan berhak)
Kerana dakwah dan islam, sentiasa menyatukan hati kita,
Menjadikan kita sentiasa jatuh cinta sesama kita,
Setiap masa.
Mudahnya dakwah ini menjadikan kita
Untuk jatuh cinta!
Kerana Allah: Dialah yang meng'allaf'kan hati2 kita!

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬ Dan (Dialah) yang menyatukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Anfal: 63)

"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada',tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:"Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih."♥

Futuwwah Cinta


Inilah dia cinta
Pak Rahmat mengatakan, cinta itu dakwah, dan dakwah itu cinta.
Dan dakwah ini mengenal kita pada Dia.
Mentaqarrubkan kita pada Dia.

Masuliyah fardhiyah kita adalah untuk sentiasa mendampingi kitabNya, mengikuti sunnahNya dan beriltizam dengan akhlak QuraniNya.

Dan seluruhnya dibuatkan kerana Dia.
Dan Dia semata.
Dan itulah dia cinta.
Bila segalanya dihadapkan pada Dia.
Dan cinta itu mengalunkan kita pada syahadahNya
Menerokai puncak-puncak kekuasaanNya,
dan mengegarkan kita akan azabNya,
akan kelam kelibut hari kebangkitan.
Mengetarkan hati kita pada Hari AkhiratNya.
Dan itulah dakwah ini mengenalkan kita.
Akan hari akhirat yang pasti, tempat terdorongnya kita untuk bertemu dengan Dia.
Dan bila segalanya dipusatkan pada Dia, adakah pilihan lain selain dari bertawakal kepadaNya?
Menyerahkan semua urusan kepadaNya?
Yakin akan janjiNya memberikan sesuatu yang terbaik buat diri kita, hambaNya.
Dan demikianlah itu cinta.
ianya yakin
redha
dan saliim..
Cinta itu menautkan hati kita pada semua hambaNya.
Dalam cinta yang tidak dimengertikan
walau tak pernah bersua
mengenal
mahupun bersentuh
itulah dia cinta
anugerah atas cinta keranaNya
Dan itulah dia cinta,
tidak meresahkan,
tidak mengelisahkan
tidak merisaukan,
apatah lagi menyebabkan putus asa.
Kerana setiap pilihan kita,
tindakan kita
dan langkah kita,
adalah demi cintaNya.
Yakinlah,
Allah akan sentiasa bersama kita,
melukiskan kanvas yang indah buat kita.
Samada di dunia, mahupun di syurga kelak..
Insya-Allah..
Inilah dia sepotong doa baginda buat kita:
Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan.
Moga aku menyintai mereka yang mendekatkan aku akan cintaNya... ameen...



sumber:iluvislam.com